Monday, November 28, 2011

maal hijrah - refleksi dalam diri

salam awal muharram , salam maal hijrah...

          Mengimbau kembali saat perit jerih baginda Rasulullah SAW dan para sahabat dalam misi penghijrahan sudah cukup menyentuh hati. Betapa besar pengorbanan baginda dan para sahabat  dalam usaha meletakkan Islam di tempat yang haq membuatkan saya terfikir sejauh manakah rasa bersyukur kita di atas pengorbanan mereka ? Adakah cukup sekadar merasa bangga dengan agama ini. Benar, kita memang harus berbangga dengan Islam kerana inilah satu-satunya agama di sisi Allah.

           Namun, bagaimana pula refleksi diri kita sebagai seorang yang mengaku diri sebagai pengikut baginda Rasulullah SAW ? Apakah kita sudah merasa cukup dengan hanya mengerjakan sunnah dan ajaran baginda sebagai penghargaan terhadap pengorbanan tersebut ? Adakah cukup sekadar kita sahaja yang faham apa itu Islam ? Bagaiman pula sahabat-sahabat yang kita pernah ungkapkan ukhuwafillah kepada mereka ? Benarkah kita bersahabat hanya kerana Allah ?

        Bagaimana mungkin kita merasa cukup dengan kefahaman Islam yang kita ada sedangkan masih ramai sahabat-sahabat di kampus mahupun di luar sana yang masih mencari hala tuju hidup. Hala tuju hidup yang saya maksudkan bukanlah cita-cita dan kerjaya yang di'ideologi'kan oleh Barat, tapi mereka masih tidak jelas akan bagaimana matlamat yang Islam gariskan. Berbalik kepada soal akidah, itulah puncanya hilang kefahaman dan syi'ar Islam di man-mana sekalipun hari ini.



         Begitulah juga sebuah pohon. Lihat sahaja akarnya, kita sudah boleh teka bagaimana teguhnya pokok itu. Sekiranya akarnya tunjang, pokok itu mengabil masa yang agak lama untuk membesar. Namun, hasilnya, Subhanallah...angin mahupun ribut tak dapat menumbangkannya. Meskipun dicabut juga sangat sukar.
Akar yang serabut pula tumbuh lebih cepat. Tetapi, pohonnya mudah dicabut dengan tangan, senang ditumbangkan angin sepoi-sepoi bahasa.


        Justeru, ayuh kita reflek diri. Ambillah i'tibar dari pengorbanan baginda Rasulullah dan para sahabat kerana ni'mat yang terbesar selepas ni'mat iman dan Islam adalah ni'mat kefahaman yang sebenar-benarnya dalam agama. Sekian, moga tahun baru ini kita lalui dengan penghijrahan berdasarkan reflektif diri.